Repost : Ramadhan...


Ramadhan...
Kunanti segala linang kasih
Kubuang segala luka pedih
Mengharap cintamu yang kunjung tiba
Mengadu nasibku pada Pencipta

Ramadhan...
Hadirlah hilangkan sedu sedan
Datanglah bawakan doa kurniaan
Biar mekar jiwa nurani
Seharum seindah jambangan kasturi

Ramadhan...
Tak sabar menanti hadirnya rahmatmu
Menerangi seluruh kelam batinku
Moga barakah seluruh penjuru
Utara, selatan, barat dan timur

Kemarilah Ramadhan...
Pandu jiwaku ke arah Tuhan...

Pejuang: dulu dan kini


Dibelenggu…
Dirantai tali temali penjajah
Diragut nilai bangsa bermaruah
Lalu hadir meracun minda
Bagai kudis memekung dada

Terpaku…
Ditambat gari jeriji pengkhianat
Dirobek nilai ummat berdaulat
Lalu berlari meninggalkan nama
Bak banjingan segala nista

Terkedu…
Dipahat kisah-kisah maha dahsyat
Dihidang citra penuh dendam kesumat
Lalu berdiri tanah air tercinta
Bagai si tua memikul lara

Terkinja…
Anak anak muda melupa jasa
Menghirup tawa suka dengan darah bonda nenda
Mengukir rias noda dengan tinta penuh nanah
Lalu teriak kuat kuat
Bila jarum jam bercantum rapat

Konon…, mereka lah pejuang
Konon…, mereka lah penyumbang

Pejuang jalanan sonsang
Penyumbang adat terlarang…

Perempuan murahan di jalanan...


Kenapa diteguk racun serakah
Sedang madu jarang terjamah
Kerana lekit yang mabuk khayal
Lewat hadir insaf dan sesal

Perempuan...
Kenapa dimamah parutan dosa
Sedang pahala lingkar percuma
Kerana laba yang bukan harta
Bukan pinggitan para jejaka

Perempuan....
Kenapa dikolek perahu maksiat
Sedang malu bertiang tongkat
Kerana desirnya suram dan kelam
Sering pudar di hening malam

Perempuan...
Kenapa terbuai serunai cinta
Sedang zikir indah bergema
Kerana alun kurang persona
Tiada getar tiada irama

Perempuan...
Kenapa singkat akal fikiran
Sedang labuh usia didikan
Kerana leka ikutan nafsu
Jangan salah asuhan ibu......

-hartini omar-080807 12.30tgh
p/s: puisi ini ditulis lama dahulu. krn isu yg dibangkit teman lama, cukup lama untuk aku melupainya...

untukmu kebaikan


Rajuk hati itu
Menangisi tangis rindu
Mengenang dia yang jauh
Pergi beribu batu

Sampai bila harus dinanti, Tuhan
Kalau cinta diheningkan
Tanpa rayu pujukan
Berkasih dengan bayangan

Hati ini sengsara
Memerit pedih luka
Mengertilah wahai di sana
Di sini menanti cinta!

Ww: ditujukan hanya buat kebaikan yang sukar kulupakan