Taman2 akhirat

(kredit gambar : flickr)

Titis2 embun
Meniti kering2 daun
Bersambut alun pohon2 rimbun

Takbir2 suci
Memenuhi ruang2 hati
Menginsafi segala jahil2 diri

Cahaya2 berkat
Limpahi denai2 hikmat
Pimpin menuju taman2 akhirat

Hati Jangan Menangis


Hati jangan menangis
Walau benar kalbu terguris
Kiri kanan masih bersisa
Kenangan lama yang menyesakkan dada

Hati jangan menangis
Walau sungguh jiwa terhiris
Depan belakang masih berbaki
Sebentuk harapan yang ditinggal pergi

Pohonlah seredup doa
Moga-moga Tuhan mendengar
Jangan lagi duduk mengenang
Pada dia yang tak mampu datang2

Julai 2009
1.50pm
Cheras

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita


Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang kalian masih bernyawa namun aku telah tiada
Sedang kalian masih di dunia namun aku sudah melangkah
Kirimkan aku sebaris doa
Sebaris Fatihah sebagai cahaya
Agar terang barzakhku berteman
Kelu ruang yang kegelapan

Sayang,

Andai di kuburan itu tempat terakhir kita
Sedang hatimu sedih bersisa namun aku tak mampu menyapa
Sedang tangismu masih mengalir namun aku tak mampu hadir
Hadiahkan aku segaris ingatan
Segaris kasih sebagai bekalan
Agar damai aku menanti
Dalam ruang yang sunyi sepi

Hartini Omar
Cheras

p/s: sesungguhnya kini aku terlalu mengingati MATI

Mana?

Mana pimpinan tanganmu
Yang utuh mengenggam jemariku
Lalu aku kau bawa ke hilir
Yang kini termenung di hujung pasir

Mana senyum manismu
Yang indah menghias hariku
Lalu aku kau bawa ke awan
Yang kini terbiar di hujung jalan

Mana sumpah setiamu
Yang kukuh menongkat jiwaku
Lalu aku kau bawa ke syurga
Yang kini merintih di hujung senja

Apakah lagi yang mungkin hilang
Bila malam bertukar siang
Atau aku sendiri yang tercari-cari
Sebuah cinta yang dah lama mati...?

Hartini Omar
Cheras, Kuala Lumpur

Kau yang tersendiri...


Tika fajar menyingsing
Kau sendiri terasing
Merenung suria
Di pagi indah
Dengan mata berkaca

Kau bak sekuntum bunga
Di pinggir pergunungan
Tersisih sepi
Bersama mimpi
Yang tidak kesampaian

Kerendahan hatimu
Kerna menyedari kekurangan diri
Sehingga kau terlupa
Betapa luasnyaDunia

Keistimewaanmu
Bagai mawar nan biru
Kau tersendiri
Suci berseri
Izinku menghampiri

Lagu oleh : Jay Jay

Ruang ini


Tuhanku yang Mengasihi...

Dalam kekosongan ruang ini
Kau ciptakan tangis di pipi
Butir2 air mataku berderai
Menonton sketsaMu yang takkan usai

Isikan kekosongan ruang ini
Dengan cinta sebenar abdi
Biarpun denai jalanku ditemani
Bebayang aku sendiri

Hartini...

Aku Fikir Itu


Aku fikir itu
Purnama yang aku tunggu-tunggu
Di malam penuh dingin
Saat wajahku dikucup angin
Bersama harapan kau datang
Menjemput rindu yang bertaut sayang

Aku kira ia
Pelangi yang aku puja-puja
Di petang penuh damai
Saat jiwaku diulit permai
Bersama impian kau hadir
Memanggil cinta yang datang menghampir

Kiranya aku salah meneka
Atau aku salah menduga
Kau bukan pelangi cinta
Bukan juga terang purnama
Cuma mungkin segaris senja
Merias mega yang indah leka

Keringlah Air Mata


Keringlah air mata
Saat-saat menanti cinta
Yang sana indah beralun
Pohon kasih yang redup rimbun

Keringlah air mata
Saat-saat membasuh luka
Yang sana desir melambai
Kasih Tuhan yang takkan usai


Hartini omar
10/2/09 @ 11.45pm

Biarlah kini aku pergi




Dan dalam butir tanah kemerahan
Aku lihat batang tubuhku dipaut erat
Dihempap luluh lumat
Lalu terhimpun tanah berbatuan
Menimbus kujur tubuhku kelumpuhan

Dan saat mati itu menjemput daku
Meninggalkan teman-teman tulis baca yang seakan sedih pilu
Bertanya-tanya pada alam bila pula hari mereka
Pergi tinggalkan cebisan kisah-kisah
Pergi tinggalkan titisan-titisan darah
Tak mungkin kembali lagi
Tak mungkin menulis kembali

Kini yang tercatit bukan lagi kisah cinta
Atau kisah resmi manusia
Kini yang tertulis hanyalah soal mati
Dan soalan-soalan meragut diri...
Biarlah kini aku pergi
Ke lorong sunyi menuju Rabbi

Hartini Omar
UIAM, Gombak

ww: puisi ditujukan buat allahyarham Arena Wati
kredit gambar

Mulia di mana-mana


Bila diri dirudung malang dan hiba
Tiba-tiba aku tersedar dari lamunan yang panjang
Bahawa hidup ini terlalu singkat untuk dicoretkan dengan perkataan
Bahawa ada yang lebih sakit dari lukanya perasaan
Bila di hujung bumi sana
Ada yang meronta-ronta dan meraung-raung minta dimerdekakan
Pengorbanan pada tanah tumpah darah
Yang tak jemu-jemu diasak penjajah

Dan setiap malam tangis itu mengalir
Seperti mengalirnya darah-darah syahid
Yang pergi bertemu Tuhan minta disimpatikan
Minta dikasihkan generasi yang masih hidup bertebaran
Minta diberhentikan keluh kesah dengan linang kasih sayang
Namun yang kasar tetap meragut nyawa penuh benci dendam
Yang hasad terus menyambung tekad menghapuskan luluh lumat
Tuhan takkan bisa membantu
Andai kita sendiri tak satu padu

Dan bila melihat bulan gerhana
Cuma pasti terangnya bebeza
Dengan cuaca dingin dan sunyi
Mungkin tak sesunyi di lembah para nabi
Dan bedilan mengejutkan tidur lena
Lalu esok anak-anak jaga tanpa ibu tanpa bapa

Bukan salah kita bila akal tidak memikir
Manusia perlu susah baru tahu makna zahir
Mata tak pernah memerhati
Telinga tak pernah meneliti
Bagaimana mahu simpati, jika hidup sendiri jarang disyukuri?

Dan bila lihat kisah-kisah itu malam hari
Kita cuma mampu diam diri, perhati hati-hati
Esok pagi, boikot makan McD boikot makan KFC
Namun hakikat daya hanya harapan serta doa
Semoga saudara kita lebih dimuliakan di mana-mana

Klang,
11/1/09

Jemu


Dunia,
Aku jemu berkata-kata
Aku jemu mengukir tinta

Dengarilah aku tanpa suara
Fahamilah aku seadanya..

Apalah yang ada padaku?

Apalah yang ada padaku, Am?

Padamu ada keindahan..
Umpama lukisan alam;
Tenang, damai dan mempesonakan….
Kerana biarpun malam gelap,
Keindahan itu tidak akan malap

Apa lagi yang ada padaku?

Padamu ada ketenangan..
Umpama lautan biru;
Luas, sunyi dan mengalun….
Kerana biarpun tanggal siang,
Ketenangan itu dihiasi bintang-bintang

Lagi?

Padamu ada kedamaian..
Umpama sumur ladang;
Dingin, basah dan merimbun….
Kerana biarpun tumbuh rumput,
Kedamaian itu kan tetap berpuput lembut

Dan apa?

... dan padamu Tini ada KECINTAAN..
Umpama angin bayu;
Segar, leka dan mengasyikkan….
Kerana biarpun tak dapat disentuh tangan,
‘kecintaan’ itu tetap aku rasakan…

kalaulah kata2 ini dituju seorang Amli buat Hartini,
maka di hari itu aku benar2 jadi Hartini...

Busana luka


Ambilkan benang harapan
Jahitkan pada impian
Jangan biar bercarikan
Helaian penuh kenangan

Ambilkan bebutang cinta
Sematkan di uncang jiwa
Jangan biar bertaburan
Deraian kekecewaan

Ini busana luka
Pemakainya raja
Raja segala sengsara
Di mahligai air mata

Melayu....

Gadis, mana melayumu?
Adakah pada lunaknya suara,
Yang sayup ke gegendang telinga
Atau pada moleknya wajah,
Yang tersenyum pada jejaka

Gadis, bila melayumu?
Adakah bila orang bertandang,
Lalu tersipu kau duduk bersimpuhan
Atau kala bulan mengambang,
Lalu berdendang kau rayu bulan

Gadis, apa melayumu?
Adakah pada barisan nama
Yang hulu ke hilir kau bawa
Atau pada hitamnya warna
Rambut kau sanggul bagai mahkota

Gadis, bagaimana melayumu?
Adakah dengan berbatik kebaya
Lalu menyantun bila dipuja
Adakah hanya mengaji membaca
Lalu melayu dirimu dikata

Melayu bukan hanya pada wajah
Yang ayu berkebaya, yang molek berbatik jawa

Melayu bukan hanya pada suara
Yang lunak berpantun, yang leka bergurindam seloka,

Melayu bukan hanya pada laku
Yang diam tersipu, yang layu menunduk bisu

Melayu itu jatidiri
Setulus seikhlas hati
Melayu itu seluas pandang
Biar tiada berhias barang
Biar tiada beremas jelang
Biar tiada bersimpuh silang…


Hartini Omar (31/10/2008)

Monolog anganan







Salam Aidilfitri


Dan kenangan itu membunuhku!



Madah itu beralun-alun
Ditiup angin semalam
Lalu kenangan itu hadir
Bagai bayu yang menitipkan rindu
…shahdu!
Lantas kembara meliputi bumi
Terokai denai-denai janji
--- Bertemu lapangan kelabu,
Dan kenangan itu membunuhku!

Warkah itu berbayang-bayang
Disinar mentari kelmarin
Lalu mimpi itu pun hadir
Bagai sumbu yang memancarkan kasih
…rintih!
Lantas berterbangan ke awan
Menyinggah taman-taman harapan
--- Bertemu impian palsu,
Dan kenangan itu membunuhku!

Lalu datang kenangan dan mimpi2 itu
Tanpa rajuk dan jemu
Membasahkan atma yang kekontangan
Digersang citra kasih sayang
…namun yang pahit tetap berkumpul jadi satu
Jadi hempedu…,
Lalu tetap membunuhku!

Repost : Ramadhan...


Ramadhan...
Kunanti segala linang kasih
Kubuang segala luka pedih
Mengharap cintamu yang kunjung tiba
Mengadu nasibku pada Pencipta

Ramadhan...
Hadirlah hilangkan sedu sedan
Datanglah bawakan doa kurniaan
Biar mekar jiwa nurani
Seharum seindah jambangan kasturi

Ramadhan...
Tak sabar menanti hadirnya rahmatmu
Menerangi seluruh kelam batinku
Moga barakah seluruh penjuru
Utara, selatan, barat dan timur

Kemarilah Ramadhan...
Pandu jiwaku ke arah Tuhan...

Pejuang: dulu dan kini


Dibelenggu…
Dirantai tali temali penjajah
Diragut nilai bangsa bermaruah
Lalu hadir meracun minda
Bagai kudis memekung dada

Terpaku…
Ditambat gari jeriji pengkhianat
Dirobek nilai ummat berdaulat
Lalu berlari meninggalkan nama
Bak banjingan segala nista

Terkedu…
Dipahat kisah-kisah maha dahsyat
Dihidang citra penuh dendam kesumat
Lalu berdiri tanah air tercinta
Bagai si tua memikul lara

Terkinja…
Anak anak muda melupa jasa
Menghirup tawa suka dengan darah bonda nenda
Mengukir rias noda dengan tinta penuh nanah
Lalu teriak kuat kuat
Bila jarum jam bercantum rapat

Konon…, mereka lah pejuang
Konon…, mereka lah penyumbang

Pejuang jalanan sonsang
Penyumbang adat terlarang…

Perempuan murahan di jalanan...


Kenapa diteguk racun serakah
Sedang madu jarang terjamah
Kerana lekit yang mabuk khayal
Lewat hadir insaf dan sesal

Perempuan...
Kenapa dimamah parutan dosa
Sedang pahala lingkar percuma
Kerana laba yang bukan harta
Bukan pinggitan para jejaka

Perempuan....
Kenapa dikolek perahu maksiat
Sedang malu bertiang tongkat
Kerana desirnya suram dan kelam
Sering pudar di hening malam

Perempuan...
Kenapa terbuai serunai cinta
Sedang zikir indah bergema
Kerana alun kurang persona
Tiada getar tiada irama

Perempuan...
Kenapa singkat akal fikiran
Sedang labuh usia didikan
Kerana leka ikutan nafsu
Jangan salah asuhan ibu......

-hartini omar-080807 12.30tgh
p/s: puisi ini ditulis lama dahulu. krn isu yg dibangkit teman lama, cukup lama untuk aku melupainya...