Jemu


Dunia,
Aku jemu berkata-kata
Aku jemu mengukir tinta

Dengarilah aku tanpa suara
Fahamilah aku seadanya..

Apalah yang ada padaku?

Apalah yang ada padaku, Am?

Padamu ada keindahan..
Umpama lukisan alam;
Tenang, damai dan mempesonakan….
Kerana biarpun malam gelap,
Keindahan itu tidak akan malap

Apa lagi yang ada padaku?

Padamu ada ketenangan..
Umpama lautan biru;
Luas, sunyi dan mengalun….
Kerana biarpun tanggal siang,
Ketenangan itu dihiasi bintang-bintang

Lagi?

Padamu ada kedamaian..
Umpama sumur ladang;
Dingin, basah dan merimbun….
Kerana biarpun tumbuh rumput,
Kedamaian itu kan tetap berpuput lembut

Dan apa?

... dan padamu Tini ada KECINTAAN..
Umpama angin bayu;
Segar, leka dan mengasyikkan….
Kerana biarpun tak dapat disentuh tangan,
‘kecintaan’ itu tetap aku rasakan…

kalaulah kata2 ini dituju seorang Amli buat Hartini,
maka di hari itu aku benar2 jadi Hartini...

Busana luka


Ambilkan benang harapan
Jahitkan pada impian
Jangan biar bercarikan
Helaian penuh kenangan

Ambilkan bebutang cinta
Sematkan di uncang jiwa
Jangan biar bertaburan
Deraian kekecewaan

Ini busana luka
Pemakainya raja
Raja segala sengsara
Di mahligai air mata

Melayu....

Gadis, mana melayumu?
Adakah pada lunaknya suara,
Yang sayup ke gegendang telinga
Atau pada moleknya wajah,
Yang tersenyum pada jejaka

Gadis, bila melayumu?
Adakah bila orang bertandang,
Lalu tersipu kau duduk bersimpuhan
Atau kala bulan mengambang,
Lalu berdendang kau rayu bulan

Gadis, apa melayumu?
Adakah pada barisan nama
Yang hulu ke hilir kau bawa
Atau pada hitamnya warna
Rambut kau sanggul bagai mahkota

Gadis, bagaimana melayumu?
Adakah dengan berbatik kebaya
Lalu menyantun bila dipuja
Adakah hanya mengaji membaca
Lalu melayu dirimu dikata

Melayu bukan hanya pada wajah
Yang ayu berkebaya, yang molek berbatik jawa

Melayu bukan hanya pada suara
Yang lunak berpantun, yang leka bergurindam seloka,

Melayu bukan hanya pada laku
Yang diam tersipu, yang layu menunduk bisu

Melayu itu jatidiri
Setulus seikhlas hati
Melayu itu seluas pandang
Biar tiada berhias barang
Biar tiada beremas jelang
Biar tiada bersimpuh silang…


Hartini Omar (31/10/2008)

Monolog anganan







Salam Aidilfitri


Dan kenangan itu membunuhku!



Madah itu beralun-alun
Ditiup angin semalam
Lalu kenangan itu hadir
Bagai bayu yang menitipkan rindu
…shahdu!
Lantas kembara meliputi bumi
Terokai denai-denai janji
--- Bertemu lapangan kelabu,
Dan kenangan itu membunuhku!

Warkah itu berbayang-bayang
Disinar mentari kelmarin
Lalu mimpi itu pun hadir
Bagai sumbu yang memancarkan kasih
…rintih!
Lantas berterbangan ke awan
Menyinggah taman-taman harapan
--- Bertemu impian palsu,
Dan kenangan itu membunuhku!

Lalu datang kenangan dan mimpi2 itu
Tanpa rajuk dan jemu
Membasahkan atma yang kekontangan
Digersang citra kasih sayang
…namun yang pahit tetap berkumpul jadi satu
Jadi hempedu…,
Lalu tetap membunuhku!

Repost : Ramadhan...


Ramadhan...
Kunanti segala linang kasih
Kubuang segala luka pedih
Mengharap cintamu yang kunjung tiba
Mengadu nasibku pada Pencipta

Ramadhan...
Hadirlah hilangkan sedu sedan
Datanglah bawakan doa kurniaan
Biar mekar jiwa nurani
Seharum seindah jambangan kasturi

Ramadhan...
Tak sabar menanti hadirnya rahmatmu
Menerangi seluruh kelam batinku
Moga barakah seluruh penjuru
Utara, selatan, barat dan timur

Kemarilah Ramadhan...
Pandu jiwaku ke arah Tuhan...

Pejuang: dulu dan kini


Dibelenggu…
Dirantai tali temali penjajah
Diragut nilai bangsa bermaruah
Lalu hadir meracun minda
Bagai kudis memekung dada

Terpaku…
Ditambat gari jeriji pengkhianat
Dirobek nilai ummat berdaulat
Lalu berlari meninggalkan nama
Bak banjingan segala nista

Terkedu…
Dipahat kisah-kisah maha dahsyat
Dihidang citra penuh dendam kesumat
Lalu berdiri tanah air tercinta
Bagai si tua memikul lara

Terkinja…
Anak anak muda melupa jasa
Menghirup tawa suka dengan darah bonda nenda
Mengukir rias noda dengan tinta penuh nanah
Lalu teriak kuat kuat
Bila jarum jam bercantum rapat

Konon…, mereka lah pejuang
Konon…, mereka lah penyumbang

Pejuang jalanan sonsang
Penyumbang adat terlarang…

Perempuan murahan di jalanan...


Kenapa diteguk racun serakah
Sedang madu jarang terjamah
Kerana lekit yang mabuk khayal
Lewat hadir insaf dan sesal

Perempuan...
Kenapa dimamah parutan dosa
Sedang pahala lingkar percuma
Kerana laba yang bukan harta
Bukan pinggitan para jejaka

Perempuan....
Kenapa dikolek perahu maksiat
Sedang malu bertiang tongkat
Kerana desirnya suram dan kelam
Sering pudar di hening malam

Perempuan...
Kenapa terbuai serunai cinta
Sedang zikir indah bergema
Kerana alun kurang persona
Tiada getar tiada irama

Perempuan...
Kenapa singkat akal fikiran
Sedang labuh usia didikan
Kerana leka ikutan nafsu
Jangan salah asuhan ibu......

-hartini omar-080807 12.30tgh
p/s: puisi ini ditulis lama dahulu. krn isu yg dibangkit teman lama, cukup lama untuk aku melupainya...

untukmu kebaikan


Rajuk hati itu
Menangisi tangis rindu
Mengenang dia yang jauh
Pergi beribu batu

Sampai bila harus dinanti, Tuhan
Kalau cinta diheningkan
Tanpa rayu pujukan
Berkasih dengan bayangan

Hati ini sengsara
Memerit pedih luka
Mengertilah wahai di sana
Di sini menanti cinta!

Ww: ditujukan hanya buat kebaikan yang sukar kulupakan

Beza kita


Sunyinya diri..
Dalam bising hiruk-pikuk kota
Dan bingit patah-patah suara
Sini sana insan bergelak tawa
Suka….!
Tanpa takut bayang-bayang malang
Tersorok celah-celah riang

Hiburnya diri..
Dalam sunyi keluh-kesah kalbu
Dan nafas esak-esak rayu
Sana sini insan beralun rintih
Sedih….!
Tanpa syukur sinar-sinar hikmah
Terselit celah-celah resah

Bila mereka melaung
Aku diam termenung
Jalan kita penuh beza
Himpunan dosa pahala
Lalu bila mereka tersenyum,
….. aku pohon restu ampun
Dan bila mereka sedih
….. aku sujud berterima kasih

Hartini Omar (17 july 08 @ 4.18pm)

Nota biru-biru itu..


Nota biru-biru itu bukan milik aku..
Kerna aku cuma abdi pada alam
Tak dibayar keringat dengan wang
Tak dibalas khidmat dengan canang
Itu aku yang dalamnya penuh debu
Depan, belakang, kiri dan kananku
Menunggu hati-hati kian terpesong
Bagai mejan kaku berdiri condong

Nota biru-biru itu bukan milik aku..
Kerna aku cuma hamba pada cinta
Tak diganti jiwa dengan harta
Tak terlunas hutang noda dengan keping biru merah
Itu aku yang luarnya penuh warna
Sisi, tepi, atas dan bawah
Menanti khatimah sebuah juang
Bagai membanjir lembah yang kontang

Jauhkan aku dari nota biru-biru itu
Sebelum mata membuta mulut membisu
Itu bagai tinta melukis susah senang
Dalam kanvas ruang –
banyak : dijulang, sikit : dicurang
Biar diri menyerah pada akal
Sampai saat nyawa dijemput ajal

hartini Omar, 16 Julai 2008, 8.10mlm

Seruan puji


Melingkari jejari, disentuh menari-nari..
Tersulam patah-patah suara
Dekat berbisik manja

Mengadu pada Tuhan, segala keperitan..
Diselangi esak tangis
Kenang jiwa terguris

Bersatu kalam doa, merindu pencipta..
Mengharap restu ampun
Dosa kian menghimpun

Nikmatnya deru zikir, seruan memuji-muji..
Insafi kerdilan diri
Saat dahi menyentuh bumi

Harta


Dengan harta
Terbuka mata
Tertutup minda
Lalu di kiri kanan
Tergambar kesenangan

Dengan harta
Terkunci kata
Terluah dusta
Lalu di depan belakang
Tergaris jurang

Dengan harta memeta
Dengan ringgit berjuta
Tak mampu ubati kesedihan
Tak mampu membeli kecintaan

Bila harta dan ringgit
Diberi tak diungkit
Maka di situ datang bahagia
Pada seluruh perjalanan usia

Harta cubaan,
Kurang – memedihkan
Banyak – melalaikan
Biar sederhana
Memandu ke syurga nyata

Dari Tini untuk lelaki...


Menerjah batas
Gelora pun berserpihan
Menghempaskan buih di lautan

Acapkali tumpas
Masih jua menyusuri
Arus pergolakan.. Setianya

Begitulah adat mestinya hidup
Selagi jasad dan hayat berpaut
Rintangan harus bersahut

Benar kata
Jatuh bangun seorang lelaki
Bergantung siapa wanita di sisi

Mujur tuah nasib
Diri kita ketemui
Jikalaulah tidak
Mungkin tak ku sedari

Bukankah kita ini dicipta Tuhan
Sepasang tapi berlainan
Lemah sana, sini kekuatan

Masing-masing
Punyai bibit kelebihan
Supaya salimg memerlukan
Bertemu demi menyulam

Cahaya nurani dan akal fikiran
Naluri serta perasaan
Menyingkap erti tangisan

Dirimu, diriku bagaikan pelita
Yang memercikkan sinar
Menyuluhi malam

Lagu "erti pertemuan" nyanyian ning dan jayjay

Hati berdesir

Untuk yang mengerti bisikan hati..

Usai kelas tadi, duduk2 mengadap kekunci yang senyap sunyi.. Lelah mengajar pun belum reda, masih tercungap nafas yang ada. Namun mahu juga menulis, yang entah untuk siapa

Dan di pukul enam itu hati berdesir..
Mengenang impian yang hampir..

Kalaulah mudah bercinta, semudah mengejanya
dan kalaulah cinta itu mudah, semudah menuturnya

maka mungkin telah lama aku bercinta

Lalu di waktu jarum pendek lebih sedikit melepasi angka enam, terdengar kata hati yang senyum menari2..

Jejaka,
Janganlah pandai bermain kata
Kata bisa meruntuhkan kota
Kota iman dan jiwa

Jangan pandai bermain madah,
Andai tak mahu hati berdarah
Bengkak bernanah

Biarlah hidup seadanya.. Menanti hadir yang dipuja.. Entah bila kan kunjung tiba...

Hartini,
9.50 pm, Cheras S'ngor

......................................................................
-edited-

dan rupanya masih belum hadir juga yang mengerti
belum bertemu manikam si jauhari ;)
pasrah dan redha sendiri

20 jun 2008 @ 3.25pm

Pilu Guru


Bila rindu tak keruan
Mengeruh keadaan
Ratap hati berdesir
Yang hulu ke hilir

Kecap sukma memandang
Jauh kedepan
Di sana jalan terang
Menggamit mapan

Di mana rentak budi
Bisa terberi
Di mana alun madah
Bisa terjamah

Di minda ilmu merekah
Tak sabar dicurah
Di kalbu rindu dieram
Tak sabar disulam

Bila tiba ketika
Madah bersatu kata
Di waktu itu aku manusia
Yang ada kapur tulisnya

Harta ini bertimbun


Harta ini bertimbun
Banyak tak terhimpun
Lalu terhakis sikit-sikit
Hilang tak diungkit

Uwang ini berjuta
Banyak tak terkira
Lalu habis senyap-senyap
Hilang tak bersebab

Harta ini milik siapa?
-hasil lelah pesawah membajak pada tanah
-hasil keringat petani membakti pada bumi
-peluh nelayan mengharung ombak lautan
-gaji rakyat beradu dengan kudrat

Harta itu milik semua
Semua yang menyumbangnya
Maka wajiblah diserah
Bukan dihabis tarah

Kerana harta itu tak bisa bawa mati
Tak telus di kuburan nanti
Namun mungkin dapat membantu
Menghilang sedih sedu

Kerana kita bekerja keras
Untuk setiap butir beras
Bukan meminta disedekah
Sepinggan nasi tak berkuah

Ini harta rakyat, bersatu bermuafakat
Bukan harta mereka, menabur onar nista…
hartini omar '110608'

Tulisan..


Mulut dan jejari itu
Tidak lelah dan kaku
Menutur menulis tak henti
Adakalanya tanpa maknawi

Jejari tangan itu
Sentiasa menari-nari
Melingkar lenggok tulisan
Adakalanya bertaburan

Tangan –tangan itu
Sering melakar-lakar
Menyampai setiap ilmu
Adakalanya bercelaru

Tulisan biar sedikit
Biar ringkas pendek
Namun lengkap makna erti
Bisa menyentuh akal insani

Bukan panjang banyak
Tak terbaca tak terluak
Kekal jadi seni yang mati
Dangkal tak bererti

Lelaki


Lelaki,
Bila kau sebut namaku
Dalam akad kelumu
Di situ aku telah jadi wanita
Wanita yang dicinta

Lelaki,
Bila kau kucup dahiku
Dalam kamar dinginmu
Di situ aku telah jadi suri
Suri sekeping hati

Biar panjang cinta kita
Sepanjang jambatan cinta
Jangan sesegar embunan pagi
Yang kering di terik mentari

Cinta kita buat Yang Esa
Demi agama juga bangsa
Maka sebutlah namaku selalu
Dalam setiap pintaan doamu

Lelaki,
Hanya dirimu bertakhta di hati
Dari kini hingga abadi
Lelaki yang kupanggil suami
Bapa buat putera dan puteri

Kamulah, lelaki!
gambar dikreditkan kepada green aple (facebook)

Lahab


Berbagai cinta


Ini tanah kita


Malam2 seorang perempuan...


Kembara ini...